Monday, December 17, 2012
Saya Hijabista-Penjenamaan Wanita Muslimah
Saya Hijabista-Penjenamaan Wanita Muslimah
oleh KD Ismalasari
Sebagai seorang muslimah, menjadi hijabista bukanlah satu pilihan malah ia adalah satu tanggungjawab yang perlu diambil serius . Berhijab bukanlah kerana saya seorang yang alim, tetapi berhijab kerana saya seorang Muslimah. Berhijab bukan juga kerana fesyen, berhijab kerana perintah Pencipta yang agung, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Maka adalah tanggungjawab kita memberi representasi yang sebaiknya melalui segala serbi agar keindahan Islam itu terserlah melaui penampilan hijabista yang santun namun tegas, yang lembut namun keras, yang sopan namun tangkas, yang merendah diri namun berkeyakinan tinggi, yang bijak mindanya, dan berani tindakannya namun setiap satu tindakan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Hijabista itu bukan setakat stailo pada fizikalnya, tetapi turut stailo dari segi pertuturannya, pemilihan katanya, pembawakan dirinya, nilai-nilai yang dipegangnya, pemikirannya malahan emosinya. Semuanya membentuk penjenamaan wanita Muslimah.
Apakah itu Penjenamaan Diri
Allah itu Maha Hebat. Allah itu Maha Mengetahui betapa pentingnya penjenamaan diri bagi menaikkan nilai seseorang hambaNya dan keseluruhan ummah secara amnya. Jika dilihat Nabi Muhammad s.a.w sebelum diangkat menjadi nabi dan rasul lagi, baginda sudah amat dikenali dengan gelaran Al-Amin. Gelaran itu sungguh sinonim dengan baginda kerana apabila orang ingat Al-Amin (jujur dan amanah) maka orang akan ingat baginda. Kewibawaan, kejujuran dan ketelusan baginda, memberi kredibiliti yang menarik ramai pelanggan.
Bukan itu sahaja, kerana penjenamaan diri yang hebat itu, kadar bayaran untuk perkhidmatan baginda menguruskan perniagaan juga adalah pada kadar yang lebih tinggi, namun pelanggan beliau tidak kisah untuk membayar kerana mereka tahu, Nabi Muhammad s.a.w pasti akan memberi mereka pulangan yang berganda-ganda berbanding apa yang dilaburkan. Maka melalui penjenamaan yang kuat itu juga, baginda menarik jodohnya dengan seorang wanita bangsawan yang jelita dan berharta serta berkedudukan tinggi. Bukan baginda yang mencari, tetapi jodoh itu datang menawarkan perniagaan serta dirinya sendiri. Itulah Khadijah a.s srikandi Islam yang agung, model contoh Hijabista yang unggul!
Jika kita ingat sesuatu jenama seperti McDonald contohnya, apakah perkataan atau benda yang akan anda kaitkan dengannya? Bagaimana pula jika saya sebut KFC? Apa pula yang akan dikaitkan dengan KFC? Sudah pasti anda akan mengatakan McDonald = fastfood/burger manakala KFC = Ayam Goreng. Jelas bukan? Itu adalah penjenamaan yang kuat kerana dengan jelas kita boleh memahami apa itu KFC dan apa itu McDonald, apa yang mereka tawarkan juga sangat jelas walaupun kedua-duanya adalah restoren makanan segera. Jika saya tanya antara McDonald dan KFC yang mana lebih menjadi pilihan? Saya pasti ramai di antara anda akan menjawab McDonaldlah. Maka jenama McDonald lebih kuat berbanding KFC.
Jadi bagaimana pula dengan orang? Bagaimana penjenamaan mereka terbentuk? Baik mari kita berbalik kepada Nabi Muhammad s.a.w tadi. Apabila kita berfikir tentang Nabi Muhammad s.a.w, apa yang terlintas di minda kita? Rasul akhir zaman, seorang nabi, seorang pemimpin Islam yang agung, seorang yang amanah, jujur dan baik hati, seorang yang lengkap peribadinya. Jika memikirkan tentang bekas pemimpin negara, Tun Mahathir Mohamed, apa yang anda fikirkan? Perdana Menteri Malaysia yang keempat, seorang yang berpandangan jauh, sinonim dengan Wawasan 2020, KLCC, bijak dan tinggi intelek, lantang bersuara dan pemimpin yang hebat.
Maka penjenamaan diri itu adalah label yang berikan oleh orang kepada kita, tidak dapat dielakkan tetapi kita boleh mengurus penjenamaan diri kita dan mempengaruhi tanggapan orang ramai melalui penjenamaan diri yang berkesan. Penjenamaan diri juga adalah satu perjanjian nilai (values). Jika kita lihat pada Tun Mahathir, penjanjian nilai beliau sangat jelas sebagai seorang pemimpin yang berwawasan tinggi, direalisasi dengan kereta nasional Malaysia dan pembinaan KLCC.
Identiti Visual
Sesuatu penjenamaan tidak dapat lari dari imej atau visual yang dikaitkan dengannya. Setiap jenama ada identiti visualnya sendiri. Begitu juga dengan penjenamaan diri.
Kita akan buat eksperimen disini. Saya mahu anda tutup mata seketika dan bayangkan seekor gajah. Buka mata. Adakah anda nampak seekor gajah atau anda nampak perkataan ‘gajah’? Saya yakin majoriti pembaca telah nampak fizikal gajah dan bukannya ejaan ‘gajah’. Itu membuktikan manusia berfikir dengan gambar.
Jadi, jika kita fikir KFC, apakah imej yang muncul di minda anda? Ayam, Colonel Sanders, dan logo KFC itu sendiri. Oleh sebab itulah setiap perniagaan memiliki logo kerana ia adalah representasi visual perniagaan tersebut. Disitulah pelanggan akan melakukan perkaitan perniagaan dengan imej diminda mereka.
Bila kita fikirkan tentang penyanyi Yuna, imej gadis Melayu bertudung akan muncul. Bila kita fikirkan JLO, imej pertama yang terlintas adalah seorang penyanyi wanita Hispanik yang seksi dan berpunggung montok sehingga imej itu turut diabadikan pada rekaan botol pewangi jenama beliau.
Oleh kerana itu juga Islam amat menitik beratkan panduan berpakaian kerana ia adalah identiti visual yang akan membentuk tanggapan pertama orang ramai mengenai Islam dan nilai-nilai yang dipegang oleh penganutnya.
Jika kita memikirkan tentang muslimah, imej pertama yang akan muncul sudah pasti seorang wanita bertudung, kerana muslimah itu adalah wanita Islam dan panduan berpakaian Islam adalah yang menutup aurat agar terpelihara, dihormati, kelihatan sopan dan tinggi harga dirinya. Jika kita memikirkan seorang hijabista, sudah terang lagi bersuluh, sudah pasti seorang wanita atau gadis yang bertudung juga. Jika dia tidak berhijab, tidak bolehlah digelar ‘hijabista’.
Seorang penganut ‘Sikh’ akan dikenali melalui turbannya sehinggakan bila beruniform pun turban itu tidak akan ditanggalkan. Begitulah kuatnya pegangan mereka. Jika seorang Muslimah tidak menutup aurat, kita tidak akan jelas yang dia beragama Islam sehinggalah kita bergaul atau berkawan dengannya kerana Muslimah itu tidak semestinya berbangsa Melayu atau Arab sahaja. Apabila kita berhijab lengkap, kita menyampaikan mesej yang kita beragama Islam, kita bangga dengan agama kita, kita wanita terhormat, tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya, kita ada maruah dan kita wanita berakhlak.
Berhijab itu adalah tuntutan agama kerana ia adalah lambang kesucian Islam. Sebagai ‘hijabista’ kita adalah iklan bergerak buat Islam, kita adalah duta agama dan tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Perlu diingat, janganlah berhijab semata untuk berfesyen atau bertudung tetapi tidak disertakan dengan adab-adabnya kerana ia akan memberikan gambaran yang kurang baik buat Islam. Boleh bergaya tetapi ikutlah batasnya. Bila bergaya, perhatikan juga penggayaan dari segala serbi, komunikasi kita (termasuklah di laman sosial), kawalan emosi kita, tingkah laku kita dan kekuatan minda kita.
Hijab Saya, Jenama Saya
Lauren Booth (seorang aktivis Palestin, wartawan Inggeris dan kakak ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, yang telah memeluk Islam) sewaktu lawatannya ke Malaysia pada tahun 2010, pernah berkata,
“My Hijab is My Brand!”
“Hijab Saya, Jenama Saya!”
Hijab itulah penjenamaan wanita Muslimah. Pakailah ia dengan yakin, berani dan bangga.
Marilah sama-sama kita berdiri dan dengan rasa kesyukuran berkata,
“Saya Hijabista, Hijab Saya, Jenama Saya!”
Teruskan semangat ‘hijabista’ di dalam diri anda dan serlahkannya dengan penuh keyakinan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment